Wednesday 25 July 2012

Disleksia


DEFINISI.

Menerusi Liew Fee Lan dalam Disleksia ( Dyslexia ): Satu pengenalan, mengikut British Dyslexia Association ( 2005 ), disleksia merupakan suatu keadaan neurologikal yang semulajadi, akan mempengaruhi banyak aspek fungsi dan proses pembelajaran, berikutan dengan kelemahan yang diidentifikasi dari aspek proses menyebut, ingatan jangka pendek, urutan dan organisasi, persepsi visual dan auditori, bahasa lisan dan kemahiran motor. Ia khas berkait dengan penguasaan dan pengguna bahasa cetakan, termasuk alphapetik, angka dan simbol muzik.


Liew Fee Lan juga menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia ( 2004 ) mendefinisikan disleksia sebagai murid-murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid-murid biasa tetapi menghadapi kesukaran yang tinggi dalam kemahiran mengeja, membaca dan menulis. Disleksia merupakan masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku pada kanak-kanak. Kanak–kanak disleksia mempunyai masalah dalam menguasai tugasan sekolah seperti membaca, mengira dan menulis ( Mohd Dan, 2009 ).

Menurut Thomson dan Watkins ( 1990 ), dyslexia didefinisikan sebagai kesukaran yang teruk pada bentuk tulisan daripada kebebasan bahasa pemikiran, budaya dan punca emosi. Perwatakan oleh individu seperti pencapaian membaca, menulis dan mengeja menjadi baik di bawah tahap yang diharapkan berdasarkan kebijaksaan dan umur kronologi. Kesukaran kognitif ini mempengaruhi kemahiran bahasa mereka yang bercampur dengan bentuk tulisan, terutama visual, kod lisan, ingatan jangka pendek, aturan perhatian dan urutan ( Dipetik daripada Adult Dyslexia, 1994 ).

Dalam buku HBSL1103: Pengenalan Pendidikan Kanak-Kanak Masalah Pembelajaran, menurut sanders dan Myers ( 1996 ), kanak-kanak yang mengalami ciri-ciri disleksia mempunyai kesukaran-kesukaran khusus dalam bacaan, menulis dan mengeja. kesukaran ini termasuklah masalah yang serupa dalam kerja nombor dan mengenali simbol-simbol seperti not muzik atau simbol matematik. Menurut Drake ( 1989 ) [dalam Madhya Zhagan ( 1999 )] pula masalah pembelajaran disleksia merujuk kepada kesukaran belajar bahasa, ketidak seimbangan dengan kebolehan intelektual, tidak lancar ketika membaca sesuatu bahan bercetak, tidak dapat menulis dengan lancar dan tepat serta daya tumpuan yang terhad.

            Bryan & Bryan dikumpul oleh Mercer ( 1987 ) dalam buku ‘Pendidikan Kanak-kanak Disleksia’ mentakrifkan disleksia sebagai suatu bentuk kesukaran dalam mempelajari komponen perkataan dan ayat dan dari mulanya perkembangan bahasa lambat dan selalu menghadapi masalah dalam menulis, mengeja dan sukar untuk mempelajari simbol seperti waktu, arah dan masa.

KRITERIA DISLEKSIA MENGIKUT TOKOH.

Bagi Anida bt Abu Bakar ( 2008 ) dalam tulisannya ‘Mengenali kanak-kanak Disleksia’, disleksia dikategorikan kepada disleksia visual (penglihatan) iaitu kesukaran utama yang dihadapi ialah untuk mengingat dan mengenal abjad serta konfugirasi perkataan. Simbol-simbol perkataan yang dicetak juga sukar untuk diterjemahkan. Kemungkinan untuk melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan adalah secara terbalik. Dalam proses pembelajaran yang boleh dikelaskan kepada mengeja dan menyebabkan kebolehan menyampaikan pengetahuan yang diperolehi adalah terhad. Dalam tempoh jangka masa yang panjang kelemahan proses mengeja memberi kesan terhadap proses membaca. Timbulnya masalah ini adalah berpunca daripada masalah-masalah awalan seperti terdapatnya kekeliruan dalam mengenal pasti huruf-huruf seperti; m – w, y – g – j, u – n, m – n, c – e, p – q, h – n, b – d. The International Dyslexia Association ( 2003a ) menerusi ‘Disleksia ( Dyslexia ): Satu pengenalan’ juga turut menyatakan murid disleksia mengalami kesukaran mengingat nama atau bentuk huruf.

Kedua ialah disleksia auditori (pendengaran) iaitu kesukaran untuk mengingat bunyi abjad, menganalisis bunyi mengikut suku kata perkataan dan menyusun atau menggabungkan suku kata bagi membunyikan perkataan. Bunyi percakapan yang tuturkan secara halus juga tidak dapat dibezakan. Masalah untuk membezakan bunyi vokal dengan konsonan juga dihadapi. ( Anida bt Abu Bakar ). Spafford & Grosser ( 1996 ) dalam HBSL1103: Pengenalan Pendidikan Kanak-Kanak Masalah Pembelajaran  turut menambah bahawa murid disleksia ini tidak berupaya mengenalpasti perbezaan kecil antara bunyi vokal dan konsonan serta tidak dapat menggabungkan bunyi-bunyi tertentu dengan simbol bercetak.

The International Dyslexia Association ( 2003a )  juga menyenaraikan bahawa murid disleksia juga mengalami kesukaran dalam belajar membaca, kesukaran mengenal atau mengeneralisasi suku kata atau mengira suku kata dalam perkataan ( kesedaran fonologikal ), kesukaran dalam mendengar dan manipulasi bunyi dalam perkataan ( kesedaran fonik ) dan kesukaran membezakan bunyi dalam perkataan ( diskriminasi auditori ). Di samping itu, The International Dyslexia Association turut menyatakan murid disleksia mengalami kesukaran dalam belajar bunyi huruf. Murid disleksia juga dikatakan keliru dengan perkataan yang hampir sama.
           

Menurut  Spafford & Grosser ( 1996 ) juga, murid disleksia mempunyai ketidakupayaan untuk mengkoordinasikan tangan dan otot-otot lengan bagi menghasilkan tulisan yang baik.  Melalui laman web yang bertajuk Nukilan dari kisah sebenar ‘Ahmad Daniel’ ada menyebut kanak-kanak yang mengalami disleksia mempunyai masalah dalam menulis di mana tulisan mereka adalah seperti cakar ayam, huruf-huruf yang di tulis tidak konsisten dari segi saiz, tiada ruang pemisah diantara satu perkataan dengan perkataan yang lain. Selain itu juga, apabila kanak-kanak disleksia menulis ayat, ayat-ayat yang ditulis bercantum dan tidak dijarakkan mengikut lazim.

Murid disleksia visual mengalami kesukaran dalam bahasa tulis. Dalam Disleksia ( Dyslexia ): Satu pengenalan , Sharani ( 2004 ) dalam bukunya ‘Mengurus Kanak-Kanak Yang Susah Belajar’. Antaranya ialah mengalami kekeliruan susunan huruf. Contohnya “dan” menjadi “nad”. Selain itu, murid disleksia juga akan menambah huruf pada sesuatu perkataan. Contohnya “main” menjadi “maein”. Kanak-kanak yang menghadapi disleksia biasanya juga menulis huruf atau nombor secara terbalik. Kita akan dapat mengesan sesetengah kanak-kanak yang mencampur antara huruf ‘b’ dan ‘d’ atau ‘p’ dan nombor 9. Huruf ini sama dengan imej di cermin dan menyebabkan kekeliruan kepada orang yang menghidapi disleksia ( Dipetik daripada artikel gejala disleksia yang perlu dikenali ).

Kanak-kanak disleksia biasanya mengalami masalah fizikal, pengurusan diri dan sosial. Kanak-kanak yang menghidapi disleksia biasanya kurang koordinasi serta kemahiran motor halus ( Anida bt Abu Bakar ). Menurut Miles ( 1993a ) pula dalam buku Dyslexia, Reading and the Brain: A Sourcebook of Psychological and Biological Research turut menyatakan disleksia selalunya mempunyai sejarah kesukaran koordinasi dalam beberapa tugasan seperti mempelajari menunggang basikal atau mengikat tali kasut. Manakala The International Dyslexia Association ( 2003a ) juga turut menyenaraikan murid disleksia mengalami masalah motor halus. Keadaan ini menyebabkan tulisan yang dihasilkan tidak bagus, tidak dapat menulis pada tempat yang ditetapkan. Berdasarkan Maria Chivers ( 2001 ) dalam Practical Strategies for living with Dyslexia, menyatakan antara ciri-ciri kanak-kanak yang ada masalah disleksia ialah kesukaran dalam menulis nombor atau angka di dalam kotak. Kanak-kanak disleksia juga turut mengalami kesukaran dalam memegang pen atau pencil. Beliau menyatakan golongan disleksia akan memegang pen atau pencil dengan ketat atau erat sekali.

Selain itu, penghidap disleksia juga dapat dicirikan mengalami kesukaran dalam mengikut 2 hingga 3 langkah arahan. Arahan yang diberi melibatkan dua urutan dan kemahiran mengingat ( Dipetik daripada artikel gejala disleksia yang perlu dikenali ). Ini menyebabkan mereka tidak dapat mengikut arahan yang diberikan dengan betul. Mengikut Zahrah Hj Abdullah dalam ‘Disleksia belajar mengeja dengan melakar/melukis gambar’ pula menyatakan murid disleksia menghadapi masalah dalam Ingatan jangka pendek iaitu merujuk kepada stor maklumat yang sedang digunakan disimpan. Kanak-kanak disleksia menghadapi masalah memproses maklumat yang baru masuk dan masa yang sama mengambil maklumat dari stor ingatan jangka panjang. Kesemua proses akan mengumpul maklumat di stor ingatan jangka pendek bagi digunakan pada masa itu. Ini bererti kanak-kanak disleksia tidak berupaya mengingati arahan-arahan panjang yang diberikan. Manakala dalam The International Dyslexia Association ( 2003a ) juga menyatakan salah satu ciri murid disleksia ialah kesukaran dalam bahasa lisan iaitu kesukaran dalam mengikut arahan. Selain itu juga, ciri-ciri kanak-kanak yang mengalami disleksia adalah mempunyai memori yang singkat untuk mengingat perkataan-perkataan dan arahan. Ciri seperti ini dipetik daripada kajian yang dilakukan oleh Maria Chivers ( 2001 ).

Antara masalah lain yang dihadapi oleh murid disleksia ialah keliru dengan konsep arah. Skop penglihatan yang terhad di mana keliru antara depan, belakang, kiri, kanan, atas, bawah serta pengamatan yang lemah juga menyebabkan mereka sukar melakukan sesuatu perkara ( Anida bt Abu Bakar,2008 ). Menurut Rahana Mohd Dahari yang dipetik daripada tulisan beliau ‘ Disleksia bukan cacat’ menyatakan kanak-kanak disleksia yang lain yang boleh dilihat adalah minat dan kecenderungan mereka berganda terhadap sesuatu perkara seperti meminati muzik atau sesuatu subjek sehingga mereka menjadi mahir dan boleh menguasai dalam tempoh yang singkat.



No comments:

Post a Comment