Thursday 7 March 2013

Kursus Kepimpinan Pengakap Manikayu Peringkat 3.1 dan 3.2



            Bertempat di Taman Hutan Lagenda Taman Negara Johor, Jabatan Pelajaran Negeri Johor ( JPNJ) dan Persatuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Johor telah mengadakan Kursus Kepimpinan Pengakap Peringkat 3.1 dan 3.2 Guru Pendidikan Khas Negeri Johor 2013 bermula pada 24 Februari 2013 - 28 Februari 2013. Seramai 67 orang guru pendidikan khas telah terlibat dari seluruh daerah Negeri Johor baik daripada sekolah rendah mahupun sekolah menengah. 
           Bagi semua guru sekolah rendah, mereka dilatih untuk memimpin Pengakap Kanak-kanak manakala bagi guru sekolah menengah, mereka dilatih untuk memimpin Pengakap Muda. 


             Dalam kursus ini, guru sekolah rendah terbahagi kepada 4 kumpulan yang digelar sekawan ( kumpulan) iaitu Sekawan Jingga (1), Sekawan Oren (2), Sekawan Hijau (3) dan Sekawan Biru (4). Manakala bagi guru sekolah menengah terbahagi kepada 3 kumpulan yang digelar patrol iaitu Patrol Tiung (5),  Patrol Penguin (6) dan Patrol Helang (7).



            Selama 5 hari kursus ini dijalankan pelbagai input yang diperolehi daripada para jurulatih-jurulatih yang sudi mencurahkan ilmu dan pengalaman mereka dalam membantu para guru pendidikan khas untuk menjadi seorang pemimpin pengakap yang berkebolehan dalam memimpin anak-anak pendidikan khas di sekolah masing-masing.


                 Bermula dengan pendaftaran para guru di SMK Sagil di hari pertama, guru diberi taklimat tentang  serba sedikit berkenaan dengan Taman Negera oleh Pegawai Taman Negara Johor. Setelah taklimat tersebut guru telah diminta untuk memasang khemah sendiri untuk dijadikan sebagai tempat perlindungan masing-masing dalam tempoh berkursus. Pelbagai aktiviti yang dijalankan antaranya taklimat daripada para jurulatih berkaitan tentang kecergasan dan kekemasan, istiadat bendera, seni perkhemahan, Laung Agung bagi guru sekolah rendah, lencana, anda dan kumpulan anda di hari pertama. 

Sesi Laung Agung

                Pada hari kedua taklimat diteruskan oleh para jurulatih seperti Organisasi Persekutuan Pengakap Malaysia, WOSM, Asas  Perhubungan dan Komunikasi dan Kedewasaan dalam kepengakapan. Guru juga tidak hanya mendengar taklimat terdapat juga beberapa slot, guru terpaksa membuat praktikal seperti Laung Agung dan Kibar Bendera bagi Pengakap Kanak-kanak, Ikatan dan Pertolongan Cemas. Terdapat juga setiap sekawan dan patrol diberikan tugasan dan diminta untuk membentangkannya.


                 Pada Hari Ketiga pula, guru-guru terpaksa melakukan ekspedisi. Semasa menjalankan ekspedisi, setiap sekawan dan setiap patrol perlu melakarkan peta, mengambil 15 nama pokok (nama malaysia dan saintifik) dan 7 helai daun kering (beserta namanya) dan 4 jenis tanah. Hanya berbekalkan sebotol air, roti, ubi kentang dan sebiji telur setiap orang diminta untuk melakukan ekspedisi sejauh 8km (pergi-balik) dan melalui 4 tempat checkpoint. Setiap Checkpoint terdapat tugasan masing-masing. Checkpoint yang pertama diberi soalan kuiz, Checkpoint kedua semua peserta diminta membaca persetiaan pengakap secara individu, checkpoint ketiga, setiap sekawan dan setiap patrol diminta untuk memasak telur dan ubi kentang yang diberi. Hanya 5 batang mancis diberikan untuk menyalakan api. Checkpoint terakhir, peserta diminta untuk menyanyikan 2 lagu pengakap. Pada waktu malam satu taklimat penghasilan buku log diberikan.
 Meredah kawasan air terjun... 


                            Mencari nama pokok                          Terpaksa meredah sungai

                            Masaklah kentang dan telur....            Bergerak menuju pendakian balik

                  
Kumpulan Oren dpt topi... dr Tok Batin Mr Tan Check Meng

Peta Lakaran Ekspedisi


 Pada hari keempat pula, aktiviti pembentangan individu dijalankan. Dalam masa 15 minit setiap peserta diminta untuk membentangkan hasil tugasan masing-masing mengikut sekawan dan patrol masing-masing. Bagi sekawan dan patrol yang telah selesai membentang hasil tugsan mereka, mereka diminta untuk menyiapkan gajet masing-masing. Bagi kumpulan saya iaitu Sekawan Oren, kami diminta untuk menyiapkan Gajet Papan Kenyataan. Oleh itu, setiap kali pembentangan ekspedisi, gajet kumpulan kami digunakan. Setiap Sekawan dan Patrol masing-masing juga diminta untuk memasak sendiri bagi ahli masing-masing untuk makan malam oleh itu setiap peserta perlulah membawa peralatan, perkakasan dan bahan-bahan untuk memasak cuma makanan basah disediakan oleh pihak penganjur. Pada hari pertama dan ketiga, makan malam kami disediakan oleh urusetia memandangkan hari pertama dan hari ketiga ekpedisi dijalankan tetapi pada hari kedua dan keempat, setiap sekawan dan patrol akan memasak sendiri. 

                     Pada hari kelima, taklimat dari pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dijalankan selepas taklimat penganugerahan pingat. Seterusnya istiadat penutupan kursus dijalankan. 

1 comment:

  1. assalamualaikum.. sungguh seronok membaca laporan cgu.satu pengalaman yang cgu belum tempohi dan ini baru permulaan cgu menimba ilmu kepengakapan seadanya cgu berminat dan berterusan lagi macam-macam ilmu kehutanan,ikatan simpulan,kebudayaan,lagu-lagu pengakap dll..terima kasih cgu.

    ReplyDelete